Dear Readers

I remember moments.....

Some of the entry may contain academic articles ... and if you are interested in copying or using the articles in this blog, please acknowledge the writer. Thanks so much...... ymrk...since...2007

Klik Jom!

Monday, 12 October 2009

Found this article........



Komentar Mengenai Teori Psikoanalisis
Oleh: Raja Kamariah Raja Mohd Khalid



Psikoanalisis telah diasaskan oleh seorang ahli neurologis Sigmund Freud. Walaupun pada dasarnya Freud adalah ahli neurologis namun, kebanyakkan sumbangannya terhadap bidang psikologi adalah lebih menjurus kepada minda bawah sedar, khayalan, imaginasi, termasuklah mimpi. Freud turut memberi penekanan mengenai personaliti manusia yang didorong oleh nafsu (libido) dan menggunakannya sebagai ’mekanisma membela diri’ (defense mechanism).
Pada pendirian Freud, masalah manusia berpunca daripada ketidakgembiraan yang mungkin datang dari diri sendiri dan hubungan luaran dengan orang lain. Apabila membincangkan tentang ketidakgembiraan dengan diri sendiri, Freud kemudiannya telah menyenaraikan aspek perkembangan manusia (psychosexual development). Di sini Freud telah menerangkan isu-isu kritikal manusia mengikut peringkat umur. Manakala apabila membincangkan tentang ketidakgembiraan dengan hubungan luaran dengan orang lain, Freud telah menerangkan tentang aspek perkembangan moral (moral development) yang menerangkan aspek id,edo dan superego manusia. Keutamaan yang diletakkan oleh Freud dalam kehidupan ini adalah mencari kebahagiaan dan lantaran itu, Freud telah juga menyatakan prinsip-prinsip keseronokkan (pleasure principle) di dalam teori psikoanalisisnya.

Secara umumnya, Freud dan teori psikoanalisisnya turut memberi penerangan mengenai personaliti manusia melalui perkembangan diri serta sosial. Apabila membincangkan tentang manusia, Freud banyak menggunakan minda sebagai alat (tool) di dalam proses membantu manusia untuk melakukan perubahan dalam kehidupannya.

Di dalam proses membantu manusia, Freud percaya minda bawah sedar banyak memainkan peranan. Freud juga mendapati, apabila klien berada di dalam keadaan yang tenang (lying on a couch), ia membolehkan klien meluahkan apa yang terbuku di dalam minda bawah sedar. Oleh itu, Freud menggunakan kaedah seperti hipnosis, analisa mimpi dan juga ’tersasul’ (slip of tongue) untuk memahami masalah yang berlaku di dalam diri seseorang. Ia adalah sebahagian daripada kaedah untuk menyedarkan minda di bawah sedar (to make unconscious conscious). Menurut Freud, apabila seseorang itu berjaya meluahkan apa jua yang terpendam, sebahagian daripada masalahnya akan selesai.

Secara peribadi, saya berpendapat Freud telah mengupas sedikit sebanyak rahsia mengenai manusia, terutamanya mengenai minda di bawah sedar. Walaupun sukar untuk membuktikannya secara saintifik mengenai kenyataan beliau, namun ia sedikit sebanyak memberi ruang kepada kita untuk memikirkan tentang kewujudan sebenar mengenai minda di bawah sedar terutamanya di dalam kaunseling.

Teori ’ice-berg’ yang digunakan oleh Freud saya kira digunakan sehingga kini untuk menerangkan tentang perasaan/emosi manusia apabila berhadapan dengan masalah. Apa yang dilihat, hanyalah di bahagian atas (tips of the ice-berg). Maka ini adalah sesuatu yang positif dan boleh diamalkan oleh kaunselor.

Saya juga tertarik dengan teknik-teknik yang digunakan oleh Freud di dalam membantu kliennya. Banyak teknik telah berkembang dari pandangan Freud ini. Sebagai contoh, teknik visualisasi, imageri mental dan hipnoterapi banyak digunakan oleh ahli psikologi dan kaunselor dalam membantu klien. Banyak proses perluahan perasaan dan penerokaan boleh berlaku jika kita menggunakan teknik yang diperkenalkan oleh Freud ini. Mungkin sedikit kelemahan dalam teknik ini ialah mengambil masa yang agak lama untuk ’mengizinkan’ klien meluahkan emosi yang terpendam. Ini adalah kerana ia terpulang kepada kesediaan klien untuk meluahkan permasalahan atau isu yang dihadapi.

Freud bukan saja membuka ruang dalam aspek teknik-teknik yang digunakan terhadap kliennya. Bahkan Freud juga menerangkan tentang personaliti manusia yang melihat pada id, ego dan superego. Jika dilihat dari aspek falsafah, mungkin ia wujud dalam diri manusia. Namun, dari segi sains pula, tiada yang dapat dibuktikan dengan kewujudan id, ego dan superego. Di sinilah bermulanya konflik idea yang digunakan oleh Freud dengan pandangan yang lain.
Freud juga telah mengenepikan soal kepercayaan (belief system). Bagi Freud kepercayaan (belief system) adalah sebahagian daripada ’penyakit minda’. Freud mungkin lupa bahwa kepercayaan bukan saja pada agama, tetapi pada fahaman-fahaman tertentu. Freud banyak menekankan tentang kehendak manusia secara fizikal dan biologikal. Mungkin ini adalah disebabkan oleh persekitaran beliau ketika itu. Oleh itu, saya kira Freud tidak begitu sensitif dengan soal silang budaya dan agama.

Tidak kurang juga jika kita lihat pada tahap perkembangan psikoseksual yang dinyatakan oleh Freud. Penerangan yang ditekankan banyak kepada soal kegembiraan, dan keseronokkan. Freud turut melihat perkembangan manusia semata-mata untuk mencapai kebahagian pada aspek nafsu. Maka, bila membincangkan tentang masalah manusia, ia akan berkait dengan ketidakupayaan nafsu seseorang. Persoalan yang masih tidak terjawab oleh pengikut Freud (Freudian) ialah jika seseorang tiada nafsu (tarikan libido) adakah bermakna seseorang itu tidak boleh mencapai kebahagiaan.

Kesimpulannya, saya menghormati Freud sebagai seorang yang berani dan mampu melihat manusia dari sudut yang berbeza. Beliau juga telah membuka minda mereka yang sezaman dengannya mengenai manusia, personaliti dan peranan serta kekuatan minda seseorang. Saya kagum dengan kesungguhan dan ketekunan beliau dalam bidang ini. Walaubagaimanpun, ia tidak bermakna saya bersetuju dengan semua pendirian dan hipotesis beliau mengenai manusia. Kebanyakkan pendapat Freud adalah berasaskan kepada logik dan rasional, serta daripada kacamata beliau sendiri dan beberapa orang rakan dan klien beliau. Terlalu banyak yang boleh kita teroka mengenai teori yang prinsip Freudian ini terutamanya dari aspek kebudayaan setempat, kepercayaan dan situasi yang berbeza.



No comments:

Post a Comment