Dear Readers
I remember moments.....Some of the entry may contain academic articles ... and if you are interested in copying or using the articles in this blog, please acknowledge the writer. Thanks so much...... ymrk...since...2007
Klik Jom!
Wednesday, 1 December 2010
Its has been...
Suka suka
content="Microsoft Word 12">
Pengenalan kepada Teori Pertukaran Sosial
Teori Pertukaran Sosial menitikberatkan hubungan yang saling melengkap serta wujudnya pertukaran hubungan yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Teori Pertukaran sosial ini secara tidak langsung merapatkan dua bidang ilmu iaitu sosiologi dan juga psikologi kerana teori ini menjurus kepada aspek mikro kehidupan manusia (Cropanzani & Mitchell, 2005). Ia bermula dari teori tingkahlaku dan seterusnya diaplikasikan dalam aspek sosial. Oleh itu, teori ini berpaksikan daripada model rasionalisasi dalam membuat keputusan yang diketengahkan oleh Blau (1964).
Sebagai contoh, Hendrick (1995) mengaitkan perubahan peranan (roles) dalam diri manusia apabila usia semakin meningkat, maka perubahan peranan ini turut menjejaskan perubahan dalam aspek sosial. Perhubungan sosial yang dibina atau yang terbina akan memberi kesan kepada seseorang.
Perhubungan sosial tersebut memainkan peranan dalam masyarakat sosial supaya individu tersebut kekal dan releven dalam masyarakat. Hubungan sedemikian seringkali berkaitan dengan tiga perkara penting yang juga dinyatakan oleh George Homans (1910-1989) iaitu ganjaran, pengorbanan dan keuntungan (Bengston & Dowd, 1981);
1. Mendapat ganjaran (reward) iaitu sesuatu yang sentiasa diharapkan setelah melakukan pengorbanan. Ganjaran yang diperolehi daripada perhubungan sosial adalah seperti wang, tanggungjawab, mahupun penghormatan dari aspek nilai dalam sesebuah masyarakat sosial.
2. Manakala pengorbanan (cost) iaitu sesuatu yang sentiasa dielakkan. Pengorbanan yang dilakukan dalam konteks sosial mungkin berbentuk masa, wang dan juga konflik yang dihadapi bergantung pada aspek nilai dalam sesebuah masyarakat sosial. Seterusnya ialah keuntungan (benefit) iaitu sesuatu yang diperolehi tanpa terlalu banyak pengorbanan dilakukan.
3. Keuntungan ini berlaku apabila berlaku perhubungan sosial saling berkait dan tidak mengharapkan ganjaran atau pengorbanan. Keuntungan ini sering diharapkan dalam perhubungan sosial sesebuah masyarakat.
Terdapat beberapa konsep lain di dalam Teori Pertukaran Sosial ini seperti Keterbergantugan (Dependence), Saling Keterbergantungan (Interdependence) dan Lapisan Perbandingan (Comparison Level dan Alternatif). Richard Emerson (1972) pula membawa era baru dalam teori ini iaitu apabila kuasa (power-dependence theory) digunakan, maka ia akan membawa keuntungan (kebaikan) manakala sekiranya kuasa itu semakin kurang, keseimbangan akan berlaku.
Berdasarkan daripada tiga aspek utama di atas, apabila dikaitkan dengan bidang gerontologi, maka ia melibatkan pertukaran sosial (seperti peranan, keperluan, tanggungjawab) apabila usia individu semakin meningkat (iaitu melalui proses penuaan). Melalui teori ini, kelompok individu akan melakukan sesuatu (sama ada dalam hubungan kekeluargaan, pekerjaan, dan hubungan sosial) kerana setiap hubungan yang dibina mempunyai jangkauan tertentu pada masa hadapan.
Sebagai contoh, tanggungjawab seorang anak terhadap ibubapanya mengikut teori ini adalah pertukaran sosial yang pernah dilakukan oleh ibubapanya sewaktu anaknya masih kecil. Tanggungjawab yang dilakukan oleh ibubapa tersebut akan ditukarkan oleh peranan anak itu nanti apabila mereka dewasa. Hal ini turut menjelaskan filial piety dalam kalangan orang Cina. Amalan ini mengikut Pyke (1999) menerangkan bagaimana Teori Pertukaran Sosial ini amat penting dalam masyarakat kerana mengekalkan hubungan kekeluargaan (khusus antara anak dan ibubapa) walaupun hubungan itu mempunyai sebab tertentu (mendapat ganjaran).
Selain itu, teori ini juga menerangkan bagaimana warga tua boleh membina persepsi tentang tanggungjawab dan andaian yang mereka bakal terima daripada generasi muda seperti anak, cucu, pekerja sosial, mahupun penjaga (Cropanzano & Mitchell, 2005). Tambahan pula, persepsi tentang tanggungjawab dan andaian ini terbina berdasarkan kepada pengalaman mereka (warga tua) pada masa lalu (masa muda mereka) pada keluarga dan juga masyarakat (Baker et al, 2008). Teori Pertukaran Sosial ini dilihat bagaimana seseorang itu memperolehi perhubungan sosial yang diinginkan, iaitu hubungan sosial yang aktif (dan positif) maka haruslah diiringi dengan pengorbanan.
Secara keseluruhannya, dari perspektif gerontologi, Teori Pertukaran Sosial ini memberi panduan kepada apa yang akan dilalui oleh seseorang hasil daripada perbuatan atau tindakan yang dilakukan olehnya dari awal. Ini bermaksud sekiranya seseorang itu mempunyai nilai kehidupan yang baik, mengekalkan perhubungan sosial yang berterusan serta positif, serta melakukan kebaikan (berbentuk ganjaran) maka pada usia lanjutnya ada kemungkinan mendapat ganjaran (positif) dari apa yang telah dilakukan pada masa muda.
Kekuatan & Kelemahan Teori Pertukaran Sosial
Teori Pertukaran Sosial ini secara ringkasnya nampak mudah untuk difahami kerana ia melihat pada perhubungan mikro dalam masyarakat. Terdapat beberapa kekuatan Teori Pertukaran Sosial ini. Antaranya ialah;
1. Kesesuaian diaplikasikan dari pelbagai aspek
· Teori Pertukaran Sosial telah membantu pengkaji memahami isu-isu dalam komunikasi, perhubungan sosial dan juga keluarga. Sebagai contoh, Levinger (1976) telah melihat perhubungan dalam sesebuah perkahwinan terjejas kerana wujudnya perbezaan dalam pernerimaan dan pemberian ganjaran, pengorbanan dan keuntungan dalam hubungan kekeluargaan.
· Selain itu, Walster, Walster dan Berchaid (1978) juga melihat bagaimana Teori Pertukaran Sosial ini boleh menyebabkan berlaku ketidakadilan (melalui Teori Equity). Mereka mendapati sekiranya wujud ketidakadilan dalam perhubungan sosial, maka wujud perasaan negatif seperti marah, kesal, tertekan dan sebagainya sehingga menjejaskan sesebuah perhubungan dan komunikasi.
· Akhir sekali, Teori Pertukaran Sosial ini juga boleh dijadikan sebagai prediktasi pada sesebuah perhubungan sosial dalam sesebuah masyarakat (Floyd & Wasner, 1994). Sekiranya dalam sesebuah perhubungan hanya seorang sahaja yang lebih banyak memberi maka perhubungan itu akan menemui kegagalan, sebaliknya sekiranya dalam sesebuah hubungan itu hubungan adalah salingberkaitan dan saksama dalam aspek penerimaan dan pemberian, maka hubungan tersebut lebih dihargai.
2. Membantu memahami isu-isu perhubungan sosial dalam masyarakat
· Teori Pertukaran Sosial dapat menjawab masalah-masalah perhubungan sosial dalam masyarat sama ada dalam keluarga (anak-ibubapa), pasangan (suami isteri/pasangan kekasih), organisasi (rakan sekerja dan majikan) dan hubungan dalam masyarakat sendiri.
3. Mempunyai strategi dalam meningkatkan perhubungan sosial dalam masyarakat
· Blau (1964) telah menyusun strategi bagaimana pertukaran sosial boleh berlaku dalam kontek sosiologi dan psikologi. Menurut Blau, pertukaran sosial akan berlaku jika tingkahlaku yang dipamerkan mempunyai tujuan tertentu. Tujuan tersebut adalah matlamat yang akan diperolehi (balasan kepada pertukaran yang dilakukan) sama ada berbentuk internal (pujian, kasih sayang, penghargaan verbal atau non-verbal) atau eksternal (wang, kuasa, tempat tinggal, sesuatu berbentuk material).
Teori Pertukaran Sosial memang berjaya membantu penyelidik memahami kedudukan sosial dalam masyarakat khususnya berkaitan dengan perhubungan sosial. Namun, selain daripada kekuatan yang dinyatakan di atas, Teori Pertukaran Sosial ini juga ada kelemahan yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah;
1. Menggalakkan keterbergantungan
· Sekiranya pertukaran sosial itu dikuasai oleh kuasa yang tidak seimbang, ada kemungkinan wujudnya kepincangan dalam masyarakat. Sebagai contoh, jika seseorang dalam masyarakat mempunyai kuasa yang lebih dari yang lain, serta menggunakan kuasa itu untuk mendapatkan perhatian sosial, maka ia akan membuatkan orang lain (kurang berkuasa) berasa berhutang budi dan sekaligus membuatkan kelompok tersebut bergantung kepada mereka yang mempunyai kuasa.
2. Pertukaran Sosial yang tidak seimbang menyebabkan berlakunya masalah sosial
· Di dalam masyarakat sosial, sekira berlakunya ketidakseimbangan dalam aspek ganjaran, pengorbanan dan keuntungan, akan berlaku masalah sosial. Hal ini dinyatakan oleh Cropanzano dan Mitchell (2005) dalam kajian mereka dengan warga organisasi.
· Dari aspek Teori Pertukaran Sosial, ketidakseimbangan yang berlaku dalam masyarakat akan menyebabkan ahli yang tidak berpuashati akan menonjolkan tingkahlaku tertentu sehingga mereka beroleh keseimbangan tersebut. Contohnya jika warga kerja tidak berpuashati dengan apa yang mereka telah laksanakan untuk organisasi tersebut, mereka berkecenderungan untuk melakukan tingkahlaku yang akan merosakkan organisasi (seperti datang lambat, tidak serius dalam pekerjaan, bergosip, dan juga perasaan marah, irihati dan dengki).
Kesimpulannya, walaupun teori ini memberi impak yang besar dalam kajian sosial seharusnya perlu diperjelaskan kelemahan serta mencari kekuatan supaya teori ini boleh diaplikasikan dalam semua konteks sosial.
Kritikan Terhadap Teori Pertukaran Sosial
Setelah melihat konsep asas Teori Pertukaran Sosial, kekuatan dan kelemahannya, terdapat juga kritikan-kritikan yang boleh disenaraikan. Antaranya ialah;
1. Walaupun teori ini mempunyai konsep-konsep yang jelas dan mudah difahami, khususnya dalam menerangkan kes-kes perhubungan, namun adakalanya dilihat sebagai generalisasi untuk semua situasi. Setiap masyarakat mempunyai budaya dan nilai yang tersendiri dan generalisasi bahawa setiap tingkahlaku yang dilakukan mempunyai sebab (harapan dan ganjaran) adalah tidak mudah seperti yang diterangkan.
2. Selain itu, Teori Pertukaran Sosial ini nampak mudah, tetapi teori ini mengambil mudah dengan menganggap bahawa manusia mempunyai tahap pemikiran yang rasional pada setiap masa. Teori ini mengandaikan pemikiran rasional adalah kemestian bagi setiap manusia, maka mereka boleh memikirkan jenis dan bentuk ganjaran, keuntungan, kuasa yang ingin mereka perolehi melalui pertukaran sosial.
3. Teori Pertukaran Sosial mempunyai nilai ekonomi dalam setiap perhubungan yang dilakukan. Iaitu melibatkan kos, ganjaran dan keuntungan. Namun begitu, bagi sesetengah nilai, budaya dan fahaman kumpulan masyarakat tertentu pertukaran sosial tidak penting. Sebagai contoh, dalam budaya masyarakat timur, apabila seseorang melakukan sesuatu kebaikan dalam masyarakat, balasannya tidak semestinya dilakukan oleh orang yang dibantu, malah jenis ganjaran adakala dari individu yang berbeza ataupun dalam bentuk ganjaran dari aspek spiritual.
4. Pendekatan yang diketengahkan oleh Teori Pertukaran Sosial ini adakalanya menjurus kepada kepentingan peribadi individu dalam kelompok masyarakat. Oleh yang demikian, tujuan dan matlamat sesebuah perhubungan adakalanya bukanlah untuk kebaikan masyarakat, tetapi disebabkan keuntungan yang lebih berbentuk peribadi.
Penutup
Keseluruhannya, Teori Pertukaran Sosial ini mempunyai kekuatan dalam menghuraikan kepentingan perhubungan sosial khususnya dalam mengkaji dari aspek proses penuaan. Ini adalah kerana proses penuaan bukan sahaja melibatkan individu, malah juga masyarakat sekeliling. Ia melibatkan tanggungjawab generasi muda, peranan warga tua sebagai masyarakat sosial dan penyumbang pada ekonomi negara. Kesimpulannya kertas ini membincangkan secara umum tentang permulaan Teori Pertukaran Sosial yang menggabungkan aspek psikologi dan juga sosiologi dalam menerangkan rantaian hubungan sosial dalam masyarakat. Selain itu, perbincangan mengenai kekuatan dan kelemahan Teori ini telah disenarai dan dihuraikan dengan ringkas. Selanjutnya kritikan terhadap Teori ini turut diperjelaskan.
Rujukan
Baker, J ., Cote, J., Deakin, J and Horton, S., (2008) Understanding seniors' perceptions and stereotypes of ageing Educational Gerontology (34) 997-1017
Blau, P.M. 1964. Exchange and Power in Social Life. New York: Wiley
Bengtson, V.L. & J.J. Dowd. (1981).Sociological Functionalism, Exchange Theory and Life-cycle Analysis: A Call for More Explicit Theoretical Bridges.International Journal of Aging and Human Development 12(2):55-73
Cropanzano, R., & Mitchell, M. 2005. Social exchange theory: An interdisciplinary review. Journal of Management , 31: 874-900.
Emerson, R.M. 1972. Exchange Theory, Part I: A Psychological Basis for Social Exchange. In Sociological Theories in Progress, Vol. 2, eds. J. Berger, M. Zelditch Jr., and Bo Anderson, 38–57. Boston: Houghton Mifflin.
Floyd, F. J., & Wasner, G. H. (1994). Social exchange, equity, and commhment: Stmctural equation modeling of dating relationships. Joumal of Family Psychology. 8(1). 55-73
Hogan, D.P., D.J. Eggebeen, and C.C. Clogg. 1993. "The Structure of Intergenerational Exchanges in American Families." American Journal of Sociology 98:1428-1458
Hendricks, J. 1995. "Exchange Theory in Aging." In G. Maddox (Ed.), The Encyclopedia of Aging (2nd ed.). New York: Springer
Pyke, Karen. 1999. "The Micropolitics of Care in Relationships Between Aging Parents and Adult Children: Individualism, Collectivism, and Power." Journal of Marriage and the Family 61: 661-672
Lawler, Edward J. 2001. An Affect Theory of Social Exchange. American Journal of Sociology 107: 321–352
Levinger, G. (1976). A social psychological perspective on marital dissolution. Joumal of Social Issues. 32, 21-47
Walker, A. J, & Allen, K. R. (1991). Relationships between caregiving daughters and their elderly mothers. The Gerontologist. 31(3). 389-396