Dear Readers

I remember moments.....

Some of the entry may contain academic articles ... and if you are interested in copying or using the articles in this blog, please acknowledge the writer. Thanks so much...... ymrk...since...2007

Klik Jom!

Thursday, 13 March 2008

Kaunseling Kerjaya : from YMRK's views

Perkataan career (kerjaya) adalah berasal daripada bahasa Latin iaitu carraria yang bermaksud jalan. Menurut Kamus Dewan, kerjaya boleh ditakrifkan sebagai profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah .Selain itu kerjaya boleh didefinisikan sebagai perjalanan atau kemajuan seseorang dalam sesuatu lapangan yang diceburinya. . Kejayaan sesuatu pekerjaan yang diceburi oleh seseorang individu turut dipengaruhi oleh perancangan sesuatu kerjaya. Perancangan kerjaya pula boleh ditakrifkan sebagai proses seumur hidup untuk mendapatkan pekerjaan, perkembangan dalam pekerjaan , perubahan pekerjaan dan persaraan ( McKay, 2007).

Sebahagian daripada proses merancang kerjaya adalah membuat keputusan. Proses ini adalah aspek yang paling sukar kerana pelbagai masalah akan timbul sekiranya berlaku kesilapan dalam membuat keputusan. Proses membuat keputusan dalam memilih sesuatu kerjaya dilakukan setelah seseorang itu menganalisis dirinya, mengenalpasti peluang pekerjaan yang ada serta mempertimbang pro dan kontra sesuatu kerjaya (O’Connel, 2007).

1. Model dan Teori dalam Perancangan dan Membuat Keputusan Dalam Kerjaya

Setiap individu sepatutnya mempunyai perancangan kerjaya yang sistematik termasuk meningkatkan kawalan diri supaya dapat mencapai kerjaya yang diingini serta memastikan diri bergerak ke arah kerjaya yang dipilih. Terdapat pelbagai model berkaitan dengan perancangan dan membuat keputusan tentang sesuatu kerjaya yang ingin diceburi. Model-model kerjaya ini adalah sangat penting bagi membolehkan seseorang memilih kerjaya yang sesuai dengan dirinya, merancang kerjaya baru atau memikirkan tentang persaraannya. Antara model kerjaya yang sering dijadikan model rujukan adalah seperti di bawah.
2.1 Model SODI (Law dan Wats, 1977)

Model SODI menjelaskan bahawa dalam merancang dan membuat keputusan berkaitan dengan kerjaya beberapa perkara perlu diberi tumpuan iaitu kesedaran kendiri (Self- awareness), kesedaran peluang (Opportunity awareness), membuat keputusan dan perancangan (Decision making and planning) dan mengimplementasi rancangan (Implementation plans).

Setiap individu yang akan memasuki alam kerjaya perlu mempunyai kesedaran kendiri. Kesedaran kendiri tersebut melibatkan kefahaman tentang pesonaliti sendiri, keupayaan diri, aptitud, nilai diri yang dipegang, nilai pekerjaan , gaya kognitif, minat, sikap dan sebagainya. Selain itu , mereka juga perlu berusaha mencari peluang untuk mencapai sesuatu matlamat atau kerjaya yang dipilih. Mereka perlu mengumpul banyak maklumat atau informasi tentang jenis pekerjaan, peluang pekerjaan, masa depan bidang pekerjaan, peluang belajar dalam bidang yang akan diceburi, gaji dan sebagainya. Seterusnya, mereka perlu mempertimbang pro dan kontra sesuatu bidang kerjaya yang tersenarai dalam fikirannya bagi membolehkannya membuat pilihan daripada beberapa bidang yang disenaraikan. Selepas itu, mereka perlu membuat perancangan bagi mencapai matlamat atau kerjaya yang dipilih.



1.2 Model Tightrope Artist ( Knowdell, 1996)

Model Tightrope Artist ( Knowdell,1996) ini mengemukakan empat langkah yang boleh dijadikan garis panduan dalam merancang dan membuat keputusan bagi memilih kerjaya. Langkah tersebut adalah seperti berikut:

a. Menilai kekuatan dan gaya diri.

Menurut Knowdell (1996) , bagi merancang dan membuat keputusan dalam memilih kerjaya seseorang itu perlu menilai kekuatan dan gaya dirinya sendiri. Antara aspek yang perlu dinilai ialah kemahiran yang dimiliki atau perlu dimiliki, minat , nilai yang dipegang dan pesonaliti trait individu. Di samping itu, terdapat juga beberapa faktor tambahan yang perlu diberi perhatian iaitu pengaruh keluarga, persekitaran, motivasi dalaman dan cara pembelajaran. Dengan memahami kekuatan dan gaya diri seseorang itu akan dapat memilih kerjaya yang bersesuaian dengan jiwanya. Keserasian antara pekerjaan dan personaliti adalah amat mustahak bagi membolehkan seseorang menyukai pekerjaan yang dilakukannya.

b. Meneroka sepenuhnya peluang pekerjaan yang ada.

Bagi meneroka sepenuhnya peluang pekerjaan dan pilihan yang ada, seseorang perlu mengumpul banyak maklumat sama ada daripada media massa, buku atau bertanya kepada sumber-sumber yang sah seperti kepada kaunselor atau guru. Maklumat tersebut adalah amat mustahak bagi membolehkan seseorang membuat pilihan tentang kerjaya yang bakal diceburi.

c. Memberi fokus kepada pilihan yang terbaik.

Bagi memberi fokus terhadap pilihan terbaik, seseorang perlu mengenalpasti isu atau dilema dalam sesuatu kerjaya. Seterusnya, individu tersebut perlu mengenalpasti keupayaannya dalam berdepan dengan dilema berkenaan. Pada peringkat ini , individu berkenaan perlu menyelidiki terlebih dahulu pelbagai aspek kerjaya yang bakal dipilih bagi memastikan bahawa dia mempunyai pelbagai alternatif dalam memilih sesuatu kerjaya.

d. Rancang tindakan untuk mencapai matlamat.

Tindakan terakhir adalah merancang tindakan yang perlu dilakukan bagi memastikan kerjaya tersebut dapat dicapai. Antara tindakan tersebut adalah seperti mengenalpasti tempat untuk belajar dalam bidang yang menjurus kepada kerjaya tersebut, penyediaan resume, persediaan untuk ditemuduga dan sebagainya.

2.3 Teori Kerjaya Holland (1985)

Menurut Holland (1985) , semakin hampir keselarasan antara ciri-ciri personal dengan keperluan-keperluan dalam sesuatu pekerjaan, maka semakin besar kemungkinan seseorang itu untuk berjaya dalam bidang berkenaan. Kepuasan kerja, kebolehan, pencapaian dan stabiliti adalah bergantung kepada darjah keselarasan atau darjah kongruens antara jenis personaliti dengan persekitaran kerja. Sesetengah individu kurang atau tiada kebolehan dalam membuat keputusan tentang kerjaya kerana mempunyai minat yang pelbagai, minat yang tidak jelas atau tiada mempunyai minat. Terdapat juga individu yang tidak dapat menjangka dengan baik tentang personalitinya, minatnya, nilainya, serta kebolehannya hingga pilihan yang dibuat tidak setimpal dengan ciri-ciri dirinya. Holland menjelaskan bahawa individu boleh dibahagikan kepada beberapa kategori mengikut pesonalitinya iaitu kategori realistik, investigetif, artistik, sosial, enterprising dan konvensional. Setiap individu perlu memilih kerjaya mengikut kesesuaian peribadinya. Sehubungan itu, Holland telah mengelompokkan pelbagai kerjaya mengikut kesesuaian enam kategori pesonaliti yang telah dinyatakan. Bagi mengenalpasti kesesuaian kerjaya , seseorang perlu menjawab Soal Selidik Kerjaya yang dihasilkan oleh Holland (1985).

3. Membuat Keputusan Dalam Memilih Kerjaya

Berdasarkan kepada model-model kerjaya yang ada , boleh di rumuskan bahawa terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan dalam merancang dan membuat keputusan berkaitan dengan pemilihan sesuatu kerjaya. Langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut.
Langkah I: Membuat Penilaian Kendiri (Self Assesment)

Penilaian kendiri adalah amat penting dilakukan oleh seseorang sebelum individu tersebut memilih sesuatu kerjaya yang bakal diceburinya. Penilaian kendiri ini perlu dilakukan seawal yang mungkin di peringkat persekolahan kerana dengan adanya penilaian kendiri seseorang itu boleh membuat penyesuaian ke arah personaliti yang perlu dimiliki oleh seseorang yang menyandang kerjaya tersebut. Seandainya individu tersebut ingin menjadi doktor, dia perlu mengetahui ciri-ciri atau personaliti seorang doktor dan mengubahsuai personalitinya supaya mempunyai personaliti seorang doktor. Bagi individu yang telah membentuk personaliti akibat kesan pelaziman atau pengaruh persekitaran serta kecenderungannya sukar diubah, dia perlu memilih kerja yang bersesuaian dengan personalitinya. Sebelum seseorang pelajar yang berada di bangku sekolah mengambil keputusan tentang kerjaya yang bakal diceburi dia perlu memikirkan tentang kolej atau universiti mana yang sepatutnya dimasuki dan apakah yang harus dilakukan selepas bergraduat nanti.

Langkah II: Mengenali Diri/Menilai Keupayaan Diri

Sebelum seseorang itu memikirkan tentang kolej, universiti atau institusi yang
bakal dimasuki dan kerjaya yang bakal diceburi, seseorang itu perlu benar-benar memahami tentang dirinya sendiri. Antaranya ialah memahami kemahiran, minat, nilai, karektor dan personaliti diri sendiri dengan mendalam.. Antara soalan-soalan yang perlu anda tanyakan kepada diri sendiri ialah dari aspek:

a. Kemahiran
Setiap orang yang akan sedang mencari kerjaya perlu mengenalpasti kekuatan dan kelemahan dirinya. Selain itu seseorang itu perlu mengenalpasti apakah kemahiran yang perlu dikuasainya bagi memastikan dirinya dapat memasuki bidang kerjaya yang bakal dipilih.

b. Minat
Seseorang itu juga perlu mengenalpasti perkara yang dia minat untuk lakukan. Dengan mengenalpasti minatnya, dia akan dapat membuat keputusan yang tepat tentang kerjaya yang dipilihnya . Dengan ini individu tersebut akan dapat memilih kerja dalam bidang yang disukai serta menghasilkan mutu kerja yang tinggi.

c. Nilai
Aspek nilai juga amat penting dan setiap individu yang akan memilih kerjaya perlu mengetahui nilai dan kepentingan kerjaya yang dipilihnya itu terhadap dirinya. Malah individu berkenaan juga perlu mengenalpasti cabaran-cabaran dalam kerjaya yang dipilih serta peluang-peluang yang ada dalam bidang tersebut.

d. Personaliti
Kesesuaian personaliti juga adalah amat mustahak dalam membuat sesuatu keputusan bagi memilih kerjaya. Seseorang yang akan memilih kerjaya mesti tahu bagaimanakah personaliti individu yang mempunyai kerjaya dalam bidang yang dipilih dan mencermin dirinya sama ada memiliki personaliti yang sedemikian atau sebaliknya. Biasanya , usaha menentukan kerjaya yang bakal dipilih bermula diperingkat sekolah lagi. Lantaran itu, individu berkenaan perlu membentuk pesonaliti yang selari dengan personaliti individu yang mempunyai kerjaya yang dipilih. Misalnya, sekiranya kerjaya yang bakal dipilih adalah sebagai seorang doktor perubatan, dia perlu mempunyai atau membentuk personaliti seperti mana yang dimiliki oleh seorang doktor perubatan.

Langkah III: Mengenalpasti Pilihan/Meneroka Kerjaya

Pada peringkat ini, individu yang akan memasuki dunia berkerjaya perlu terlebih dahulu meneroka dengan lebih lanjut bidang-bidang yang dipilih. Individu tersebut perlu mengenalpasti apakah kelayakan yang perlu ada untuk membolehkannya menjurus ke arah kerjaya yang dipilih. Seterusnya dia perlu menentukan pilihan kolej atau universiti yang mempunyai kursus dalam bidang yang dipilih bagi memudahkannya membuat pilihan untuk belajar. Pelbagai sumber boleh digunakan dalam mengenalpasti pilihan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang dipilih seperti surat khabar, laman web dan sebagainya.



Langkah IV: Mengumpul Informasi dan Data.

Pada peringkat ini, individu perlu mengumpul maklumat-maklumat dan data-data berkaitan dengan kerjaya yang dipilih. Antara maklumat yang dikumpul adalah tempat untuk belajar, keperluan kewangan, peluang pekerjaan dalam bidang tersebut dan sebagainya. Maklumat seperti ini akan memudahkan seseorang membuat keputusan tentang bidang yang dipilih, melihat kepentingan bidang tersebut, peluang-peluang yang tersedia dan sebagainya. Maklumat-maklumat sebegini akan memantapkan lagi pemilihan sesuatu bidang yang ingin diceburi oleh seseorang.

LangkahV: Membuat Pilihan

Sehingga ke peringkat ini anda sebenarnya sudah sedia untuk membuat keputusan tentang kerjaya yang bakal dipilih. Walau bagaimanapun seseorang individu perlu memikirkan pro dan kontra tentang sesuatu institusi yang akan dipilih. Usaha perlu dilakukan untuk meneroka sejauh mana kursus atau kerjaya yang akan dipilih mempunyai perkaitan dengan kemahiran, minat, nilai yang anda pegang, personaliti dan sebagainya. Pada waktu yang sama seseorang individu yang akan memilih kerjaya juga perlu mengenalpasti kekangan atau cabaran dalam bidang pekerjaan yang bakal dipilih.

Langkah VI: Memilih satu daripada cadangan anda.

Berdasarkan maklumat yang telah dikumpul dan pengetahuan seseorang tentang segenap aspek, pilih satu bidang yang akan diceburi dan institusi yang akan dimasuki. Jika masih ragu-ragu kerana tidak cukup maklumat, teruskan usaha mencari maklumat sehingga individu tersebut yakin dengan apa yang dipilihnya

. Langkah 7:Membuat keputusan dan perancangan tentang sesuatu yang telah dipilih.

Setelah menetapkan pilihan seseorang individu perlu menyediakan pelan tindakan. Seseorang individu itu perlu menyediakan perancangan dalam merealisasikan kerjaya yang menjadi pilihannya. Perancangan tersebut merupakan tindakan yang bakal diambil berserta jangka masa yang ditetapkan. Perancangan tentang cara-cara untuk bertindak seandainya berdepan dengan sebarang masalah juga perlu difikirkan.

4. Isu Perancangan dan Membuat Keputusan Bagi Sesuatu Kerjaya

Pelbagai isu akan timbul akibat ketiadaan perancangan dan membuat keputusan yang
salah dalam pemilihan sesuatu kerjaya. Antara isu-isu tersebut adalah seperti berikut:

4.1 Terpaksa memilih kerjaya yang tidak diminati.

Masalah ini berpunca kerana ketiadaan perancangan awal tentang kerjaya yang diceburi. Biasanya para pelajar menunggu keputusan peperiksaan untuk memohon melanjutkan pelajaran dalam suatu bidang berdasarkan keputusan peperiksaan tersebut. Dalam konteks ini, pelajar telah membuat suatu kesilapan yang besar kerana mereka terpaksa memilih kursus yang bersesuaian dengan kelulusan mereka. Sekiranya mereka merancang kerjaya dengan lebih awal, mereka boleh menumpukan perhatian kepada mata pelajaran yang membolehkan mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang yang dipilih.

4.2 Memilih kerjaya yang statik dan kurang peluang masa depan.

Sesetengah kerjaya adalah tertutup atau lambat mengalami pergerakan. Setiap individu wajar memilih kerjaya yang berkembang dan mempunyai masa depan. Oleh itu mereka perlu berusaha mengenalpasti masa depan sesuatu peluang pekerjaan sebelum memilih kerjaya tersebut. Tetapi kebanyakan individu tidak meneliti peluang-peluang dan cabaran dalam sesuatu kerjaya itu terlebih dahulu. Akhirnya mereka terperangkap dalam kerjaya yang dipilih sehinggalah sampai ke satu peringkat jiwa mereka mula memberontak sehingga mereka terpaksa bertukar kepada kerjaya lain apabila berpeluang berbuat demikian.

4.3 Tidak ada kesesuaian antara personaliti dengan pekerjaan.

Sesetengah individu akan cuba mengimplimentasikan konsep kendiri dengan memilih pekerjaan yang akan membenarkan ekspresi diri. Sepatutnya, individu perlu membentuk diri seperti mana keperluan sesuatu kerjaya. Oleh itu kerjaya perlu dirancang dengan teliti sejak dari awal agar personaliti individu dapat dibentuk ke arah keperluan kerjaya . Ini lebih mudah daripada memilih sebarang kerjaya yang dirasakan mampu dilakukan serta berusaha menjiwai ciri-ciri penyandang jawatan berkenaan dan akhirnya wujud rasa ketidaksesuaian. Akhirnya, wujud fenomena bekerja sambil lewa sehingga menjejaskan kualiti dan produktiviti organisasi.

4.4 Tiada kebebasan memilih yang disukai.

Sesetengah individu terpaksa mengikuti kehendak keluarga mereka. Mereka tidak mempunyai kebebasan memilih kerjaya yang disukai kerana terpaksa mematuhi kehendak keluarga. Hal ini kerap berlaku dalam keluarga yang mempunyai pendidikan tinggi dan menjawat jawatan profesional . Tambahan pula jika individu tersebut cenderung untuk memilih kerjaya yang dianggap yang kurang serius serta tidak memerlukan pendidikan yang tinggi. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya memikirkan hak anak-anak untuk memilih kerjaya yang sesuai dengan jiwa mereka. Walau bagaimanapun ibu bapa berhak memberi nasihat atau menentukan hala tuju kerjaya anak mereka sejak usia muda dengan membentuk minat dan personaliti mereka menjurus kearah kerjaya berkenaan.

5. Kesimpulan

Beberapa kesimpulan boleh dibuat berkaitan dengan perancangan dan membuat keputusan kerjaya. Antaranya ialah:

Perancangan dan membuat keputusan yang betul adalah sangat penting dalam mencapai kerjaya yang cemerlang.

Di dalam konteks Malaysia khususnya, penekanan harus diberikan seawal yang mungkin iaitu ketika berada di dalam prasekolah. Sekurang-kurangnya mendedahkan kepada kanak-kanak tentang pekerjaan yang berbeza, pengalaman serta kejayaan yang diperolehi apabila memilih satu-satu kerjaya. Apabila pendedahan awal diberikan, maka di dalam minda kanak-kanak yang sedang membangun mempunyai konsep bahawa memilih dan memiliki kerjaya tertentu adalah sebahagian daripada proses membina kehidupan yang cemerlang.

Perancangan memerlukan seseorang membuat penelitian dan mengkaji segenap peluang dan cabaran sebelum membuat sesuatu keputusan dalam memilih kerjaya.

Proses ini harus dimulakan pada peringkat sekolah rendah, pada tahap dua, iaitu ketika berusia sekitar sepuluh atau/dan sebelas tahun ke atas. Ketika ini, perkembangan kognitif sedang berlaku. Pastinya pada usia ini mereka harus dimaklumkan tentang peluang dan cabaran terhadap satu-satu kerjaya. Mungkin pihak sekolah harus menjemput wakil-wakil dari setiap kategori kerjaya yang bukan sahaja membincangkan tentang kejayaan masing-masing, malah cabaran dan halangan yang perlu dihadapi. Proses ini akan membantu mereka membuat analisis dan sintisis mengenai kerjaya tertentu.

Ibu bapa berhak merancang pemilihan kerjaya anak-anak dan berusaha membentuk sikap anak-anak supaya mempunyai peribadi yang seiring dengan ciri-ciri penjawat kerjaya berkenaan sejak dari kecil lagi.

Ibu bapa harus memainkan peranannya di rumah. Sekurang-kurangnya membantu anak-anak mengalami sedikit pengalaman mengenai satu-satu kerjaya. Membawa anak-anak ke muzium, atau melawat tempat-tempat tertentu (seperti melawat/mengikut ibubapa ke bangunan kerajaan-jika mahu mendedahkan kepada anak-anak tentang kerja dengan kerajaan, melawat/mengikut ibu bapa ke hospital jika ingin memberi pendedahan tentang pekerjaan seperti doktor dan jururawat, melawat/mengikut laluan ke balai bomba, balai polis, dan sebagainya.). Menerangkan kepada anak-anak tentang perkembangan kerjaya ketika bersekolah, ke pusat pengajian tinggi dan sebagainya adalah sebahagian daripada tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan bahawa maklumat tentang kerjaya ada di dalam minda kanak-kanak sebelum melangkau ke alam persekolahan.

Pemilih sesuatu kerjaya perlu mempertimbangkan beberapa aspek iaitu berdasarkan penilaian kendiri, kesedaran peluang, membuat keputusan dan merancang tindakan serta mengimplimentasikan tindakan tersebut.

Ibu bapa mahupun para guru harus membantu kanak-kanak atau pelajar sekolah untuk menilai keupayaan diri melalui ujian-ujian psikologi yang sedia ada. Di dalam masyarakat Malaysia, penggunaan ujian –ujian psikologi masih lagi belum meluas. Maka, para kaunselor atau psikologi harus berusaha untuk memartabatkan penggunaan ujian-ujian psikologi ini bukan sahaja di peringkat sekolah, malah di dalam proses penilaian kendiri dalam banyak aspek yang berbeza seperti pemilihan kerjaya, kenaikan pangkat dan sebagainya. Selain itu, kaunseling kerjaya harus diperluaskan lagi agar dapat membantu para pelajar mahupun mereka yang berhasrat untuk meningkatkan kepuasan bekerjaya dapat menggunakan perkhidmatan ini sebaik mungkin dan berjaya membuat keputusan kerjaya yang lebih matang dan berhasil.

Kerjaya memberi implikasi sepanjang hayat kepada seseorang. Lantaran itu kerjaya perlu dirancang dan setiap keputusan perlu dibuat dengan memikirkan pro dan kontranya agar tidak timbul masalah di kemudian hari.

Perancangan kerjaya bukan sahaja untuk para pelajar di sekolah menengah atau pun penuntut universiti. Ia merupakan satu proses berpanjangan sejak dari lahir manusia ke bumi hinggalah ia melewati hari-hari tua. Oleh itu, masyarakat harus disedarkan dengan kepentingan pemilihan dan penjurusan terhadap satu-satu kerjaya.

6. Penutup

Secara keseluruhannya, perancangan dan pembuat pemilihan kerjaya merupakan satu proses penting di dalam kehidupan manusia. Di dalam konteks Malaysia, banyak lagi usaha-usaha perlu dilakukan oleh individu, sekolah, badan bukan kerajaan dan yang paling utama ialah kerajaan harus membuat satu garis panduan khusus dalam usaha membantu warganya memilih kerjaya yang boleh membantu meningkatkan kemahiran diri seseorang, malah menyumbang kepada faktor ekonomi negara.

Rujukan

Law , B., & Watts , A.B. (1977). Schools, Careers and Communities: A study of some approaches of some career education in schools. London : CIO Publishing.

Mc Kay, D.R.( 2007).Your Guide To Career Planning.
http://careerplanning.about.com/index.htm

Knowdell, R. (1996). Building a Career Davelopement Program. Palo Alto, CA: Davies-Black Publishing.

Holland, J.L.(1985).Holland Occupational Codes.
http://www.hollandcodes.com/holland_occupational_codes.html

No comments:

Post a Comment